Saturday, April 5, 2008

Jendela Hikmah 2.


Zikir Dapat Mengikis Penyakit Keras Hati Dan Sikap Mazmumah.


Mengisi waktu dengan perkara yang boleh mendekatkan diri kepada Allah adalah sesuatu yang wajar dan perlu diamalkan dari semasa ke semasa demi mencapai puncak rahmat dan keredhaan-Nya seperti yang didambakan setiap insan bergelar Muslim.

Namun, sangat mendukacitakan jika dikalangan masyarakat Islam hari ini ada yang belum terbuka pintu kesedarannya, lalu membiarkan usia berlalu begitu sahaja. Masih ada yang malas melaksanakan ibadat yang telah difardhukan, enggan menerima nasihat yang baik, tidak gemar meluangkan masa untuk mendengar ceramah agama atau menghadiri majlis ilmu.

Sikap seperti itu mungkin ada pada hati keluarga kita, jiran, rakan, atau pada diri kita sendiri. Mengapa terjadi hal yang demikian? Jawapannya ialah kerana memiliki hati yang keras, diserang penyakit mazmumah seperti sombong, angkuh, panas baran, serta sukakan perkara yang bertentangan dengan hukum agama dan lain-lain lagi.

Orang yang berhati keras, sesungguhnya jauh daripada rahmat Allah. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah adalah mereka yang berhati keras.” (Hadith riwayat At-Tarmizi).

Sesungguhnya hati manusia ini pelbagai wajah seperti yang pernah diperkatakan oleh ulama’ tersohor iaitu, Ibnu Qayyim. Beliau berpendapat, hati kita terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

  • Hati yang sihat, subur dan selamat iaitu hati yang selalu menerima, mencintai dan mendahulukan kebenaran. Pengetahuannya mengenai kebenaran benar-benar sempurna, juga selalu taat dan menerima sepenuhnya.
  • Hati yang keras, iaitu hati yang tidak menerima dan tidak taat pada kebenaran.
  • Hati yang sakit, iaitu jika penyakitnya sedang teruk, maka hatinya menjadi keras dan mati. Jika ia mengalahkan penyakit hatinya, maka hatinya menjadi sihat dan selamat.

Daripada ketiga-tiga wajah hati itu, apa yang perlu dimiliki sebagai seorang Islam ialah seketul hati yang sihat dan selamat. Sebagai insan beriman dan cintakan Allah secara benar, maka sedaya upaya harus berusaha mengatasi hati yang keras dan mengubati hati yang sakit.

Jika dibiarkan, hati itu akan menghidapi beberapa perkara bahaya yang membinasakan iaitu memandang perkara buruk dan baik adalah sama sahaja atau mungkin mempercayai yang baik itulah mungkar dan yang mungkar itu adalah perkara baik, menjadikan hawa nafsu sebagai pedoman dan bisikan syaitan sebagai penyuluh arah.

Hati yang diserang penyakit seumpama itu masih boleh dirawat dengan membaca Al-Qur’an, mendalami maknanya dan mengamalkan ajarannya untuk menghidupkan dan melunakkan (melembutkan) hatinya, selain menambah ilmu pengetahuan serta membentuk akhlak terpuji. Membaca Al-Qur’an juga boleh menjana ingatan kepada Allah dan meneguhkan ketaqwaan. Inilah sebenarnya tujuan Al-Qur’an diturunkan kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan Al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian.” (Surah Al-Isra, ayat 82).

Jelas sekali bahawa jika selalu mengingati Allah boleh mengindahkan hati dan menenangkan perasaan. Berdasarkan pendapat Ibnu Taimiyah, zikir itu penting bagi manusia, umpama betapa perlunya ikan kepada air.

Selanjutnya, perlu ada keinsafan dalam hati bahawa diri kita hanyalah sebagai hamba yang hina di sisi Allah. Rasa rendah diri, menjadikan ibadat dilakukan ikhlas, bersungguh-sungguh dan berkualiti.

Rasa rendah diri, menghindarkan daripada sikap sombong dan meyakini bahawa hanya Allah yang Maha Besar dan Maha Agung. Orang yang senantiasa merendah diri, hatinya akan menjadi murni, tenang, senang menerima hidayah serta mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “...Allah tidak menambah terhadap hamba yang ringan untuk memberikan kemaafan melainkan kemuliaan, dan seseorang tidak merendahkan diri kepada Allah melainkan Allah meninggikannya.” (Hadith riwayat Muslim).


Hati juga akan berkembang mekar apabila mengingati kematian yang pasti kedatangannya. Makhluk lemah seperti manusia, suatu masa nanti pasti akan mengalami peristiwa kematian. Apabila ingat mengenai kematian, maka ianya boleh melembutkan hati yang keras itu tadi. Insya-Allah.

Syeikh Muhammad Hussain Ya’qub, dalam tulisannya, Tragedi Alam Kubur ada menyebut: “Zikrulmaut dapat mencegah daripada perbuatan maksiat, melunakkan hati, menghilangkan kecintaan terhadap dunia dan sedih terhadap musibah. Kematian adalah mauizah dan pemisah manusia dari segala yang dimilikinya.”

Memang tidak dapat disangkal berlakunya pelbagai masalah sosial, keruntuhan akhlak di kalangan remaja, tandusnya budi pekerti mulia dan budaya Islam, adalah akibat daripada kerasnya hati anggota masyarakat kita pada hari ini.

Hal itu boleh dibendung sebelum keadaannya semakin parah dengan kesedaran untuk kembali kepada sinar Islam dan hidayah Allah. Apabila semua hati anggota masyarakat dalam keadaan bersih dan sihat nescaya hidup masyarakat akan menjadi aman, saling hormat-menghormati (tidak mengira samada tua ataupun muda), berbaik sangka, terjalinnya silaturrahim yang baik, maju dan dipandang mulia oleh penganut agama lain terutamanya di sisi Allah.




No comments: