Wednesday, May 25, 2011

Jendela Hikmah 18.

Cara Rasulullah Menjaga Kesihatan Diri



BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita. Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja. Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan. Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpenyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:

Selalu bangun sebelum Subuh:
Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah. Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

Aktif menjaga kebersihan diri:
Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi. “Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)

Tidak pernah makan berlebihan:
Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih) Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.

Gemar berjalan kaki:
Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar. Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

Tidak pemarah:
Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa. Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring. Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah di hati.

Optimis dan tidak mudah berputus asa:
Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.
Tidak pernah iri hati: Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

Pemaaf:
Sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat. Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.

Maka marilah sama-sama saya dan para pembaca mempraktik cara hidup yang sihat daripada Rasulullah. Amalkan setiap hari demi kesihatan yang akan membolehkan kita mudah untuk beribadah kepada Allah S.W.T dan mencari rezki.



Sunday, May 8, 2011

Jendela Hikmah 17.

Bersempena sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa



IBU bapa mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah sehingga Allah memerintahkan kita berbuat baik kepada mereka selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Islam menyanjung tinggi kedudukan ibu sehingga memberi penghargaan istimewa terhadap pengorbanan ibu kepada anak. Ibu insan paling banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anak. Pengorbanan wanita bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Segala kesusahan ketika hamil dan kesakitan melahirkan sukar digambarkan, tetapi tiba-tiba boleh menjadi kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anak. Apakah memadai jasa dan pengorbanan ibu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu? Sudah tentu tidak kerana sikap ini tidak menggambarkan kasih sayang sepanjang hayat tetapi hanya budaya sekali setahun. Namun hari ibu yang disambut pada 10 Mei setiap tahun tidak bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian bermakna. Sebagai anak, kita dituntut mengenang jasa dan pengorbanan ibu.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Jasa ibu melahir dan membesarkan anak tidak dapat dibalas kerana pengorbanan memastikan kesejahteraan mereka amat besar sehingga meletakkan kedudukan syurga bagi anak di bawah tapak kaki ibunya. Kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW menjadi cerita yang terus diulang sebagai iktibar kepada generasi hari ini supaya menghormati serta menghargai ibu tidak kira dalam apa keadaan. Alqamah ialah pemuda yang baik dan taat, rajin mendirikan solat, banyak berpuasa serta bersedekah, namun dia lebih mengutamakan isteri berbanding ibunya yang makan hati berulam jantung dengan perbuatan Alqamah. Akibatnya dia tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah pada penghujung hayatnya sehingga Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah apabila ibunya yang berkecil hati enggan memaafkan anak itu.

Tindakan Rasulullah SAW menyebabkan ibunya segera memaafkan Alqamah yang kemudian dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah. Selepas dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith)

Walaupun hatinya kecewa, kasih sayang ibu mengatasi segalanya sehingga sanggup melupakan perbuatan anak semata-mata untuk melihat mereka mendapat keredaan Allah. Oleh itu, anak sepatutnya sanggup berkorban apa saja demi ibu. Islam mewajibkan anak menunaikan segala hak dan melayani ibunya dengan baik. Islam juga mengharamkan anak melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan dan menyinggung perasaan ibunya. Pendek kata, ibu ialah insan paling berhak mendapat layanan terbaik daripada anak selaras pengorbanan yang dilakukannya.

Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki: “Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu.” Hadis Rasulullah SAW mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada ibu mengatasi berbakti kepada orang lain walau kepada bapa sekalipun. Alangkah sedihnya melihat masyarakat hari ini apabila ada anak sanggup mendera, membiarkan malah mencederakan ibu bapa apabila kehendak hati tidak dipenuhi atau disebabkan nasihat untuk kebaikan diberi. Anak yang menderhaka terhadap ibu bapa kerana hilang nilai keimanan dalam diri dan jiwa dikuasai hasutan nafsu. Tekanan hidup hari ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan kian jauh dan institusi keluarga makin rapuh.

Namun, apa juga cabaran, itu bukan alasan untuk menidakkan hak ibu atau membolehkan anak melupakan tanggungjawab kepada ibu bapa mereka. Ada kala, ibu tidak memerlukan wang ringgit tetapi cukup perhatian diberi anak mereka. Anak yang derhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup ketika di dunia dan akhirat. Selain itu, menderhaka kedua ibu bapa bererti menderhaka kepada Allah. Daripada Abdullah Amru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah daripada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Maka oleh itu, sayangilah Ibu dan Bapa anda setiap hari dan bukanlah hanya pada Hari Ibu atau Hari Bapa semata-mata sahaja kerana berjasalah kepada mereka selagi mereka masih hidup bersama dengan kita.



Wednesday, May 4, 2011

Jendela Hikmah 16.

ALLAH S.W.T ADALAH PENOLONG HAKIKI


APABILA kita katakan adalah dibenarkan memohon syafaat daripada Nabi SAW, ini tidak menafikan kepercayaan kita dengan keyakinan yang kuat dan lazim, tanpa syak dan ragu bahawa asal sesuatu pertolongan, permohonan, doa dan permintaan itu hanyalah kepada Allah SWT.

Pada hakikatnya, Dialah Maha Penolong, Maha Pembantu dan Mengkabulkan sesuatu permintaan. Prinsip ini ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah; yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia. (Yunus: 106-107). Firman-Nya lagi yang bermaksud: Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (daripada dunia) hinggalah hari kiamat. (al-Ahqaf: 5).

Jadi, segala bentuk ibadah semestinya ditujukan kepada Allah sahaja. Tidak harus sesuatu ibadah itu ditujukan kepada selain Allah SWT, dalam apa jua bentuk sekalipun. Maka tidak ada nazar yang boleh dibuat kecuali kerana Allah; tidak ada doa yang dipanjatkan kecuali kepada Allah; tidak ada sembelihan yang dilakukan kecuali untuk-Nya; tidak boleh memohon pertolongan dan perlindungan kecuali kepada-Nya; tidak ada sumpah kecuali atas nama-Nya; dan tidak boleh bertawakal atau berserah diri, kecuali kepada Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi daripada apa yang disifatkan oleh golongan yang mensyirikkan-Nya.

Kita mempercayai bahawa Allah adalah Pencipta semua hamba-Nya dan segala perbuatan mereka. Tidak ada satu makhluk pun selain Allah; baik yang masih hidup, mahupun yang telah mati, yang mempunyai pengaruh dan kesan dalam penciptaan tersebut. Maka Pengurus dan Pentadbir sebenar di dalam alam ini hanyalah Allah SWT. Tidak ada satu makhluk pun yang memiliki dan menguasai walau sedikit kecuali jika Allah memberikan milik dan kekuasaan itu kepadanya dan memberikan keizinan kepadanya untuk menguruskannya. Tidak ada seorang manusia pun yang mampu memiliki suatu manfaat atau mudarat untuk dirinya. Apatah lagi untuk orang lain, begitu juga untuk mematikan dan menghidupkan atau membangkitkan, kecuali atas apa yang dikehendaki oleh Allah mengikut keizinan-Nya.

Justeru, kemampuan memberikan manfaat atau menolak kemudaratan, semuanya itu dibatasi dengan had ini dan diikat dengan ikatan ini (kehendak dan izin daripada Allah). Penisbahan atau penyandarannya kepada makhluk, hanyalah sebagai tasabbub (penyebab) dan takassub (pengusaha). Bukannya sebagai pencipta atau yang mengadakan, atau yang mempunyai kesan, atau sebab, atau kekuatan. Penisbahan atau penyandaran ini pada hakikatnya hanyalah penyandaran atau penisbahan majazi (simbolik), atau kiasan belaka, bukan menurut hakikatnya. Namun demikian, manusia berbeza-beza cara dalam mengungkapkan hakikat perkara ini. Ada di antara mereka yang keterlaluan menggunakan dan menggambarkan ungkapan majazi sehingga terjerumus ke dalam kesamaran lafaz.

Namun, ia berlepas diri daripada lafaz yang samar-samar dan tidak jelas maksudnya itu dan hatinya juga bersih serta berpegang atas tauhid yang sempurna dan menyucikan Allah daripada segala sifat yang tidak layak bagi-Nya. Ada pula di antara mereka yang berpegang teguh dengan hakikat lafaz secara berlebihan daripada had sederhana. Maka dengan ini, sampai menyusahkan, membingungkan dan mengusutkan pemikiran orang lain untuk mengikut mereka.

Bahkan, mereka membawa orang lain kepada maksud yang tidak sebenarnya dan memaksa mereka melakukan sesuatu yang tidak diingininya. Lebih teruk lagi, mereka menghukum orang lain dengan suatu hukum yang tidak benar, sedangkan mereka membebaskan diri daripada perkara tersebut. Sepatutnya, mereka ini mengambil sikap pertengahan, bukan sikap yang ekstrem seperti itu. Maka sikap seperti ini lebih menyelamatkan agama dan lebih berhati-hati dalam menjaga kedudukan tauhid.


Wallahu a'lam.




(Sumber daripada: Utusan Malaysia)