Saturday, April 12, 2008

Jendela Hikmah 3.


ANTARA AMALAN DAN FADHILAT 10 MUHARRAM:




1. Melapangkan masa dan berbelanja untuk anak dan isteri.
  • Fadhilatnya ialah Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun itu.

2. Memuliakan fakir miskin.
  • Allah akan melapangkan dalam kuburnya nanti.

3. Menahan sikap (sifat) amarah.
  • Pada Akhirat nanti, Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang diredhai-Nya.

4. Memberi petunjuk kepada orang yang sesat.
  • Allah akan memenuhkan cahaya iman di dalam hatinya.

5. Menyapu dan mengusap (membelai) kepala anak yatim.
  • Allah akan mengurniakan sepohon pokok di Syurga bagi setiap rambut yang disapu itu.

6. Bersedekah.
  • Allah akan menjauhkan daripada Neraka sekadar jauh seekor gagak yang terbang tidak berhenti-henti dari kecil hingga ke mati.
  • Diberi pahala seperti memberi sedekah kepada semua fakir miskin di dunia.

7. Memelihara kehormatan diri.
  • Allah akan mengurniakan hidupnya senantiasa diterangi cahaya keimanan.

8. Mandi Sunat.
  • Lafaz niat: "Sahaja aku mandi Sunat Hari As-Syura kerana Allah Ta'ala."

9. Membaca surah Al-Ikhlas sebanyak seribu kali.
  • Allah akan memandangnya dengan pandangan rahmat pada Akhirat kelak.

10. Sembahyang Sunat empat raka'at.
  • Allah akan mengampunkan dosanya walaupun berlarutan selama 50 tahun melakukannya.
  • Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang Sunat Hari As-Syura empat raka'at kerana Allah Ta'ala."
  • Pada raka'at pertama dan kedua selepas membaca surah Al-Fatihah, hendaklah dibaca surah Al-Ikhlas sebanyak 11 kali.

11. Menjamu orang berbuka puasa.
  • Diberi pahala seperti memberi orang Islam berbuka puasa.

12. Puasa.
  • Niatnya: "Sahaja aku berpuasa esok hari, Sunat Hari As-Syura kerana Allah Ta'ala."



Saturday, April 5, 2008

Jendela Hikmah 2.


Zikir Dapat Mengikis Penyakit Keras Hati Dan Sikap Mazmumah.


Mengisi waktu dengan perkara yang boleh mendekatkan diri kepada Allah adalah sesuatu yang wajar dan perlu diamalkan dari semasa ke semasa demi mencapai puncak rahmat dan keredhaan-Nya seperti yang didambakan setiap insan bergelar Muslim.

Namun, sangat mendukacitakan jika dikalangan masyarakat Islam hari ini ada yang belum terbuka pintu kesedarannya, lalu membiarkan usia berlalu begitu sahaja. Masih ada yang malas melaksanakan ibadat yang telah difardhukan, enggan menerima nasihat yang baik, tidak gemar meluangkan masa untuk mendengar ceramah agama atau menghadiri majlis ilmu.

Sikap seperti itu mungkin ada pada hati keluarga kita, jiran, rakan, atau pada diri kita sendiri. Mengapa terjadi hal yang demikian? Jawapannya ialah kerana memiliki hati yang keras, diserang penyakit mazmumah seperti sombong, angkuh, panas baran, serta sukakan perkara yang bertentangan dengan hukum agama dan lain-lain lagi.

Orang yang berhati keras, sesungguhnya jauh daripada rahmat Allah. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah adalah mereka yang berhati keras.” (Hadith riwayat At-Tarmizi).

Sesungguhnya hati manusia ini pelbagai wajah seperti yang pernah diperkatakan oleh ulama’ tersohor iaitu, Ibnu Qayyim. Beliau berpendapat, hati kita terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

  • Hati yang sihat, subur dan selamat iaitu hati yang selalu menerima, mencintai dan mendahulukan kebenaran. Pengetahuannya mengenai kebenaran benar-benar sempurna, juga selalu taat dan menerima sepenuhnya.
  • Hati yang keras, iaitu hati yang tidak menerima dan tidak taat pada kebenaran.
  • Hati yang sakit, iaitu jika penyakitnya sedang teruk, maka hatinya menjadi keras dan mati. Jika ia mengalahkan penyakit hatinya, maka hatinya menjadi sihat dan selamat.

Daripada ketiga-tiga wajah hati itu, apa yang perlu dimiliki sebagai seorang Islam ialah seketul hati yang sihat dan selamat. Sebagai insan beriman dan cintakan Allah secara benar, maka sedaya upaya harus berusaha mengatasi hati yang keras dan mengubati hati yang sakit.

Jika dibiarkan, hati itu akan menghidapi beberapa perkara bahaya yang membinasakan iaitu memandang perkara buruk dan baik adalah sama sahaja atau mungkin mempercayai yang baik itulah mungkar dan yang mungkar itu adalah perkara baik, menjadikan hawa nafsu sebagai pedoman dan bisikan syaitan sebagai penyuluh arah.

Hati yang diserang penyakit seumpama itu masih boleh dirawat dengan membaca Al-Qur’an, mendalami maknanya dan mengamalkan ajarannya untuk menghidupkan dan melunakkan (melembutkan) hatinya, selain menambah ilmu pengetahuan serta membentuk akhlak terpuji. Membaca Al-Qur’an juga boleh menjana ingatan kepada Allah dan meneguhkan ketaqwaan. Inilah sebenarnya tujuan Al-Qur’an diturunkan kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan Al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian.” (Surah Al-Isra, ayat 82).

Jelas sekali bahawa jika selalu mengingati Allah boleh mengindahkan hati dan menenangkan perasaan. Berdasarkan pendapat Ibnu Taimiyah, zikir itu penting bagi manusia, umpama betapa perlunya ikan kepada air.

Selanjutnya, perlu ada keinsafan dalam hati bahawa diri kita hanyalah sebagai hamba yang hina di sisi Allah. Rasa rendah diri, menjadikan ibadat dilakukan ikhlas, bersungguh-sungguh dan berkualiti.

Rasa rendah diri, menghindarkan daripada sikap sombong dan meyakini bahawa hanya Allah yang Maha Besar dan Maha Agung. Orang yang senantiasa merendah diri, hatinya akan menjadi murni, tenang, senang menerima hidayah serta mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “...Allah tidak menambah terhadap hamba yang ringan untuk memberikan kemaafan melainkan kemuliaan, dan seseorang tidak merendahkan diri kepada Allah melainkan Allah meninggikannya.” (Hadith riwayat Muslim).


Hati juga akan berkembang mekar apabila mengingati kematian yang pasti kedatangannya. Makhluk lemah seperti manusia, suatu masa nanti pasti akan mengalami peristiwa kematian. Apabila ingat mengenai kematian, maka ianya boleh melembutkan hati yang keras itu tadi. Insya-Allah.

Syeikh Muhammad Hussain Ya’qub, dalam tulisannya, Tragedi Alam Kubur ada menyebut: “Zikrulmaut dapat mencegah daripada perbuatan maksiat, melunakkan hati, menghilangkan kecintaan terhadap dunia dan sedih terhadap musibah. Kematian adalah mauizah dan pemisah manusia dari segala yang dimilikinya.”

Memang tidak dapat disangkal berlakunya pelbagai masalah sosial, keruntuhan akhlak di kalangan remaja, tandusnya budi pekerti mulia dan budaya Islam, adalah akibat daripada kerasnya hati anggota masyarakat kita pada hari ini.

Hal itu boleh dibendung sebelum keadaannya semakin parah dengan kesedaran untuk kembali kepada sinar Islam dan hidayah Allah. Apabila semua hati anggota masyarakat dalam keadaan bersih dan sihat nescaya hidup masyarakat akan menjadi aman, saling hormat-menghormati (tidak mengira samada tua ataupun muda), berbaik sangka, terjalinnya silaturrahim yang baik, maju dan dipandang mulia oleh penganut agama lain terutamanya di sisi Allah.




Jendela Hikmah 1.


REMAJA HENDAKLAH TAHU CARA UNTUK MENGAWAL EMOSI DAN KEMARAHAN, IBU BAPA AMBIL PERANAN.



Emosi remaja sering menimbulkan keresahan kepada ibu bapa, terutama kepada yang tidak faham dengan perubahan dilalui mereka dalam aspek emosi dan fizikal hingga ada merasakan susah untuk mengawal anak remaja masa kini.

Alam remaja membawa perubahan besar kepada emosi anak-anak dan disebabkan itulah mereka memerlukan bimbingan untuk memandu emosi mereka ke arah yang sepatutnya. Emosi membabitkan kemarahan, kesedihan, kebencian, kegembiraan, ceria, bingung, tekanan, mestilah diluahkan pada masa dan tempat yang sesuai dan tepat.

Kerap kali remaja akan bertindak berlebihan dalam meluahkan atau memendam emosi mereka. Perasaan mereka kadangkala sukar untuk dijangka dan sering bertukar-tukar. Barangkali remaja tidak lagi mengamuk seperti kanak-kanak apabila marah, kecewa ataupun keinginan mereka tidak dipenuhi, tetapi mereka menunjukkan dalam bentuk pemberontakan atau kemarahan.

Seperti juga ketika mereka masih kanak-kanak, amukan remaja mesti diuruskan supaya tidak menjadi lebih parah. Ibu bapa perlu belajar bagaimana untuk mengurus kemarahan anak remaja. Antaranya:

1. Memahami kemarahan sebagai salah satu emosi manusia. Bukanlah bermaksud ibu bapa mesti selesa dan raikan kemarahan anak remaja, cuma ia mesti digunakan pada masa, tempat dan keadaan yang bersesuaian.

Contohnya, marah pada perbuatan yang tidak baik dan memudaratkan diri serta orang sekeliling adalah kemarahan yang mesti dipupuk dan digalakkan seperti marah apabila dibuli, diejek, melihat ketidakadilan atau penganiayaan. Atau marah apabila Rasulullah S.A.W dipersendakan, atau kemarahan atas sebab-sebab yang wajar.

2. Menganalisis punca terhadap kemarahan yang timbul. Sebelum mengurus kemarahan, ibu bapa mesti mengetahui punca sebenar yang menbuatkan anak remaja menjadi marah. Daripada itu, ibu bapa akan memahami kemarahan anak, samada berasas ataupun disebaliknya. Jika kemarahan itu hanya disebabkan keperluan yang tidak munasabah, berikanlah nasihat yang sewajarnya. Barangkali ketika kanak-kanak, mereka sudah terbiasa mengamuk untuk mendapatkan sesuatu.

Terangkan keburukan dan kesan negatif terhadap kemarahan yang tidak terkawal. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bahawasanya marah itu perosak Iman, bagaikan barang yang pahit merosakkan madu.” Dan, “Sesungguhnya sifat amarah itu adalah sifat untuk Syaitan dan ianya dimurkai oleh Allah S.W.T.”

3. Bimbing remaja bagaimana untuk bertenang dan bersabar apabila dalam keadaan marah. Biasanya remaja kurang mahir mengawal diri apabila marah. Mereka lebih cenderung bertindak atau mengeluarkan kata-kata yang akhirnya membuatkan mereka menyesal. Cara untuk mengatasi kemarahan dengan memupuk sikap bertenang dan bersabar:

  • Menarik nafas dengan kiraan 1 hingga 10.
  • Mengambil wuduq.
  • Mendirikan solat (fardhu ataupun sunat).
  • Membaca doa.
  • Membaca Al-Qur’an.
  • Berjalan di tepian pantai untuk menghirup udara segar.

Kesemua aktiviti di atas adalah diantara aktiviti yang boleh dilakukan untuk menenangkan kemarahan.

4. Ibu bapa sebagai contoh teladan. Ibu bapa yang sering gagal mengawal diri ketika menangani amukan dan kemarahan anak kecil akan membesarkan seorang remaja yang pemarah. Selain daripada itu, di luar kesedaran ibu bapa kata kesat dan tindakan kasar (menghukum) adalah satu penderaan.

Kebijaksanaan ibu bapa mengawal kemarahan sendiri ketika berhadapan dengan anak yang sedang mengamuk atau marah, secara tidak langsung ibu bapa telah atau sedang mendidik anak menjadi remaja yang penyabar, prihatin, dan bijak mengawal perasaan. Ibu bapa adalah contoh paling hampir kepada anak, dan begitu juga pada para guru yang mendidik anak-anak.