Monday, April 25, 2011

Jendela Hikmah 15.

Kebahagiaan Terpancar Daripada Keberkatan Allah




UMAT Islam perlu mencari keberkatan kerana tanpanya jiwa pasti tidak akan berasa tenang dan puas. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah ayat 155-157)

Ada golongan berusaha siang malam mencari rezeki. Malah, sanggup menggadai nyawa tetapi mengapa ia tidak memberikan jaminan kebahagiaan? Mengapa ada yang memiliki rumah besar dan megah, tetapi masih tidak gembira? Bahkan mereka bermati-matian mencari kebahagiaan dan ketenteraman, sedangkan apa yang mereka peroleh ialah masalah. Kenapa ia berlaku? Antara sebabnya ialah tiada keberkatan. Rasulullah s.a.w mendoakan sahabatnya di majlis perkahwinan semoga rumah tangga berkat. Malah, supaya dapat kaya, kekayaan yang berkat, sahabat yang ada ilmu berdoa ilmu berkat. Berkat ialah pelbagai guna, bermanfaat di dunia dan akhirat. Kita tidak hanya boleh berbangga dengan apa yang kita miliki, tetapi yang patut dibanggakan ialah keberkatan menerima nikmat.

Jadi, bukannya kita patut takut tidak memiliki sesuatu, tetapi harus takut sesuatu yang dimiliki tidak berkat. Keberkatan maknanya subur, dengan kebaikan, permohonannya diterima dan kebahagiaan. Keberkatan membawa ke syurga sebaliknya tanpa keberkatan kita dibawa ke neraka. Doa yang kita pinta ketika makan berbunyi: “Wahai Tuhanku berkatilah apa yang Engkau berikan pada kami ini dan selamatkanlah daripada api neraka.” Maknanya makanan yang tidak berkat walaupun sesuap boleh bawa ke neraka. Apa lagi kalau harta berlambak-lambak, ilmu melaut dan pelbagai gelaran. Menurut sejarah, Umar Abdul Aziz ketika menjalankan tugas pada malam hari di Baitulmal tiba-tiba anaknya mengetuk pintu. Apabila dilihat anaknya yang ingin bertanya mengenai urusan rumah tangga, beliau terus memadamkan lampu. Si anak bertanya: “Kenapa ayah padamkan lampu.” Jawab Umar: “Kerana minyak lampu ini milik negara.

Ia tidak layak untuk urusan peribadi. Inilah contoh keberkatan dalam erti kata yang sebenar. Keberkatan meliputi soal wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Wajib, mesti buat dan jika buat dapat pahala besar tetapi jika tidak buat dosa besar. Perkara yang harus diberikan pilihan, yang makruh patut dijauhi manakala yang haram mesti dijauhi. Kunci kebahagiaan ialah bersederhana di samping pengurusan yang pintar dan segala aktiviti mesti sesuai dengan syariat Allah s.w.t.

Contoh kecil yang dianggap remeh manusia hari ini ialah waktu solat. Mencari harta jangan sampai melupakan solat, mencari harta jangan sampai lupa kepada halal haram. Mencari untung patut dikerjakan sebanyak mungkin, tetapi apalah ertinya keuntungan jika membabitkan soal haram yang dimurkai Allah. Pelajar sebagai contoh, apalah ertinya berjaga malam, bersengkang mata, belajar dan mengulangkaji, tetapi esoknya tidak mengerjakan solat Subuh. Ilmu yang tidak berkat ialah ilmu yang ada di akal, ilmu dalam bentuk maklumat dan pengetahuan, tidak menjadi cahaya dan petunjuk.

Apabila ilmu tidak berkat, ia hanya boleh berhujah, tetapi tidak boleh merubah mereka.


(Sumber daripada: Harian Metro)



Saturday, April 16, 2011

Jendela Hikmah 14.



Maafkan Kami Ya Rasulullah



INI hanyalah satu muhasabah bukan realiti dan harap ia tidak menjadi kontroversi. Bayangkan apabila Rasulullah dengan izin Allah tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita.

Ketika itu Baginda datang dengan tersenyum dan muka yang berseri-seri di hadapan pintu rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Mesti kita menjadi sangat terkejut, memeluknya erat-erat lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu. Kemudian kita tentunya akan meminta agar Rasulullah sudi menginap beberapa hari di rumah kita. Tapi barangkali kita meminta Rasulullah menunggu sebentar di depan pintu kerana teringat VCD 18+ atau lukisan wanita separuh bogel yang melekat di ruang tamu kita sehingga kita terpaksa memindahkan semuanya ke belakang dengan tergesa-gesa kemudian menggantikan khat nama Allah dan Muhammad yang tersimpan dalam almari dan kita meletakkannya di ruang tamu.


Apa agaknya Rasulullah katakan jika baginda tahu semua itu? Bagaimana pula jika Rasulullah bersedia menginap di rumah kita? Barangkali kita menjadi malu kerana tidak mengetahui sedikitpun sejarah Rasulullah s.a.w, keluarga dan sahabatnya. Kita terpaksa menukar ruang tamu menjadi ruangan solat, malah segera mencari pakaian solat, kopiah, serban dan al-Quran. Manakala bagi anak isteri, kita terus belikan pakaian menutup aurat demi menutup malu selama ini kita berpakaian tidak menutup aurat.

Apa agaknya rasa Nabi dengan perlakuan dan lakonan kita itu? Belum lagi koleksi buku-buku, kaset dan karaoke kita. Ke mana kita harus menyingkirkan semua koleksi itu demi menghormati junjungan kita? Sudah tentu kita menjadi malu kerana kita tidak pernah ke masjid meskipun azan berkumandang. Kita juga pasti malu kerana pada waktu Maghrib keluarga kita masih sibuk di depan televisyen. Kita hanya menghabiskan hampir seluruh waktu untuk mencari kesenangan duniawi. Sudah tentu juga kita berasa malu kerana keluarga kita tidak pernah menunaikan solat sunat, sangat jarang membaca al-Quran dan tidak mengenal jiran tetangga kita.


Sudah tentu kita malu jika Rasulullah menanyakan kepada kita siapa nama tukang sampah yang setiap hari lewat di depan rumah kita.


Justeru, bayangkan apabila Rasulullah tiba-tiba muncul di depan rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Masihkah kita memeluk junjungan Nabi kita itu dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita? Atau akhirnya dengan berat hati, kita menolak kunjungan baginda kerana hal itu akan sangat membuat kita segan dan malu. Maafkan kami ya Rasulullah. Oh betapa memalukannya kehidupan kita saat ini di mata Rasulullah. Itu belum lagi kalau hendak kira cara kita mencari duit, membina keluarga, cara kita berpolitik, berniaga dan segala perlakuan kita yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Layakkah kita bergelar umat Muhammad, dan layakkah kita mendapat syafaat Nabi di hari akhirat nanti?