Wednesday, February 2, 2011

Jendela Hikmah 12.

Keajaiban Kasih Sayang dan Rasa Cinta.



SUDAH sebulan anak-anak kita bersekolah. Pelbagai gelagat kita lihat ketika memulakan alam baru persekolahan; ada yang menangis, ketawa, tak kurang yang ibu ayah terpaksa menunggu di kelas demi ilmu dan kasih sayang. Tetapi, suasana sebegini semakin kurang kita temui sebab anak sudah matang dengan pendidikan prasekolah yang dilaluinya.

Penulis sendiri masih teringat kenangan lama ketika Mak dan Abah tersayang memimpin tangan ke sekolah masa kecil dahulu. Tingginya harapan mereka dan kini selepas berjaya, semuanya dalam kenangan. Hanya titisan air mata dan kesayuan menjadi kenangan apabila terkenang kisah silam. Terima kasih buat Mak dan Abah.


"Ya Allah, sayangilah ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua menyayangi dan mendidik kami sewaktu kami kecil."

Doa sebegini sangat perlu dibaca setiap hari supaya Allah mengekalkan kasih sayang kita pada anak-anak dan juga ibu bapa. Mendidik anak dengan cinta dan kasih sayang berbeza dengan mendidik anak dengan sumpah seranah serta maki hamun. Kasih sayang akan memberi semangat dan pendorong positif dalam menghadapi kerenah dan perangai anak-anak.

Bayangkan jika ibu dan bapa tidak ada rasa cinta terhadap anak-anak, mereka akan melihat anak itu seperti melihat kayu dan batu. Bahkan mereka mungkin akan menganggap anak sebagai beban yang menyusahkan hidup mereka. Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Memang tugas yang sukar dan meletihkan.

Terima kasih dan syukur tidak terhingga kepada-Mu Ya Allah atas nikmat kasih sayang ini.
Bayangkan bebanan ibu ketika melahirkan anak yang terpaksa berdepan dengan sakit yang tidak terperi, darah yang tumpah dan tidak bermaya. Namun, apabila melihat bersih dan suci wajah bayi yang dilahirkannya maka akan hilang segala derita dan bebanan yang ditanggung selama ini. Itulah keajaibnya kasih sayang dan cinta yang mampu mencipta semangat dan daya juang yang luar biasa ibu bapa terhadap anak-anak. Pengorbanan yang lahir dari kasih yang ini dapat membina semangat dalam mendidik anak.

Setiap anak berbeza gelagat dan kerenahnya. Bagi ibu dan bapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang mencurah-curah dan bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak mereka menjadi manusia yang berjaya.
Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak. Allah S.W.T tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja. Allah S.W.T menjamin rahmatnya kepada ibu dan bapa yang mengasihi dan merahmati anak-anaknya.

Mendidik anak tidak selalunya rata dan mendatar saja kerana ada kalanya kita menerima ujian yang di luar jangkaan.
Jadi, kasih sayang mengukir ketabahan dan kegigihan buat ibu bapa. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung henti. Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka ketika berkomunikasi, luahkan rasa sayang dan harapan, teruskan usaha mendidik secara berterusan dengan penuh kesabaran.

Soalan penulis kepada semua pembaca budiman, pernahkah anda menatap wajah orang yang anda sayangi itu dengan penuh kasih sayang? Contohnya ibu dan bapa kita atau anak-anak kita. Jika tidak pernah, cubalah pandang-pandang dan perhatikan wajah orang yang banyak berbakti kepada kita itu kerana ketika sedang tidur, kerana itulah wajah yang paling jujur disisi Allah S.W.T. Wajah ketika tidur menceritakan segala-galanya. Tanpa kata, tanpa suara seolah dia berkata: "Betapa lelahnya aku hari ini, demi anak-anak dan keluarga aku sanggup melakukan segala-galanya." Renung dan tataplah wajah orang yang kita sayang itu ketika dia menutup mata ketika tidur sebelum mereka menutup mata buat selama-lamanya. Tidak kira sama ada anak-anak terhadap ibu bapa, mahupun ibu bapa kepada anak-anak.

Jangan lupa pesanan kudus daripada langit ketika mendidik anak-anak: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari manusia yang sombong dan ingkar kepada Allah iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga daripada batu-batu berhala."

Akhir kata daripada penulis, perasaan kasih sayang dan cinta tidak semestinya kepada Maha Pencipta dan di antara keluarga semata-mata. Maknanya yang begitu besar boleh mencakupi keseluruhan makhluk Allah S.W.T. Sebagai contoh, sayang terhadap sesama manusia (biarlah berlainan ikutan, agama, warna kulit dan pelbagai bahasa, kerana semua berasal daripada Nabi Adam a.s.), haiwan, pokok dan pelbagai lagi. Maka, penulis menyeru agar kita sama-sama melahirkan rasa kasih dan sayang supaya hidup kita tenang, aman damai dan selalu berfikiran positif dalam menempuhi liku-liku hidup yang hanya bersifat sementara.


(Sumber daripada: Harian Metro)


Tuesday, February 1, 2011

Jendela Hikmah 11.

Anak-Anak Belajar Daripada Sikap Ibu Bapa.


Ada kalanya apabila kita menegur anak-anak bukan kerana ingin membetulkan kesalahan mereka, tetapi ingin meluahkan rasa amarah dan geram. Sepatutnya kita sebagai ibu dan bapa harus cuba belajar kaedah terbaik untuk menegur anak kerana jika tersalah cara dan tersalah pendekatan mendidik, maka anak akan menjadi semakin nakal.

Anak-anak banyak belajar daripada sikap ibu bapanya. Mereka juga belajar marah untuk menunjukkan kelakuannya. Kita akui, banyak pengaruh luar yang mengubah perilaku mereka. Teman sebaya khususnya, sangat akrab dengan anak yang boleh mempengaruhinya sama ada cara bercakap, bertindak, meluahkan kemarahan dan perkataan yang diucapkan. Sering berlaku anak-anak tidak memahami dan mengetahui maksud perkataan yang diucapkan kerana mereka hanya meniru.

Banyak perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi mengatasi anak yang nakal. Perlu diingat, anak mempunyai dunia berbeza dengan orang dewasa. Sebelum mereka mengetahui benar atau salah sesuatu perkara itu, anak-anak hanya bertindak melakukannya tanpa memikirkan kesannya. Justeru, perkara yang biasa dilihat, itulah yang mereka ikut dan seterusnya membentuk keperibadian anak-anak kelak.

Daya imaginasi anak sangatlah tinggi. Mereka ibarat sedang bermain dengan permainan dan keinginan yang tinggi itulah mendorong mereka bertindak.
Tidak semua tindakan itu diistilahkan sebagai kenakalan. Kalaulah kenakalan itu adalah kesalahan yang biasa cubalah diatasi dengan senyuman.

Kalau boleh dengan senyuman, kenapa harus dengan kemarahan? Kalau boleh dengan ucapan, kenapa harus dengan pukulan? Kalau boleh dengan kucupan, kenapa dengan dengan cubitan? Menunjukkan kasih sayang dalam menegur kesalahan menyebabkan anak lebih terbuka. Anak yang melakukan kesalahan belum memahami erti kesalahan sebenar. Paling penting anak-anak hanya inginkan perhatian daripada ibu bapa. Mereka lebih bahagia jika ibu bapa menunjukkan penuh kasih sayang contohnya dengan memeluk, mengusap kepala atau sekadar berbicara dengan lemah lembut.


Ibu bapa perlu memiliki kesabaran yang tinggi dalam menghadapi dan mengendali anak yang nakal. Kesabaran itu sangat dituntut dalam memberi didikan supaya jiwa anak stabil dan berkembang dengan sempurna. Kesabaran ibu bapa boleh membuatkan anak mengerti bahawa perkara yang dilakukannya adalah salah. Sebaliknya, cara kekerasan menyebabkan anak-anak kita semakin melawan dan makin memberontak. Walaupun anak melakukan kesalahan, jangan terus membentak kerana perbuatan itu boleh melukakan perasaannya. Hal berkenaan boleh menyebabkan anak berdendam hingga dewasa kelak. Jadikan marah sebagai senjata terakhir apabila semua usaha lemah-lembut itu gagal. Marahlah jika anak benar-benar sudah terbukti mereka bersalah.

Namun, berilah nasihat dengan lembut kerana jiwa anak pasti tersentuh dengan kelembutan. Anak kita sangat kuat ingatannya hingga semakin banyak nasihat positif yang diterima, semakin stabil pertumbuhan jiwanya. Apabila anak sering menerima kata-kata kasar, maki atau sumpahan daripada ibu dan bapa mereka, tentunya pertumbuhan jiwanya menjadi semakin keras.


Lihatlah Rasulullah menegur Umar Abi Salamah ketika dia makan dengan mengambil makanan yang terletak jauh dari jangkauannya. Baginda mengatakan: “Wahai anak! Bacalah Bismillah. Makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan dari yang terdekat denganmu.” Jelaslah bahawa Baginda memilih kata-kata yang lembut dan hasilnya anak tidak lagi melakukannya dan nasihat itu terus meresap ke jiwanya.

Kesimpulannya adalah sebagai ibu dan bapa, kita harus memahami dan membuat satu pendekatan dengan anak-anak supaya mereka senantiasa ingat dan yakin bahawa diri mereka ada teman yang boleh didampingi apabila didalam kesusahan mahupun kesenangan. Janganlah kita sebagai ibu bapa menjadi alpa, lalai dan bersikap ambil mudah dalam hal mendidik anak-anak. Kerana, biarlah kita bersusah payah dahulu dan mendapat pulangan yang baik daripada kita merana di kemudian hari. Seperti pepatah orang tua mengatakan: "Melentur buluh, biarlah daripada rebungnya" dan "Bagaimana rupa acuan, begitulah rupa bentuknya."

Jadi, sama-samalah kita membentuk keluarga yang harmoni dan sejahtera. Keluarga yang bahagia bukan sekadar di dunia semata-mata. Ianya akan kekal hingga ke akhirat nanti. Doalah yang terbaik buat anak-anak kita agar mereka menjadi manusia yang berguna apabila kita susah tiada nanti.


(Sumber daripada: Harian Metro)



Friday, January 28, 2011

Jendela Hikmah 10.

"Aku Tak Sembahyang, Tetapi Aku Berjaya..."



Kita tahu bahawa ilmu itu adalah cahaya, dan tidak akan memasuki hati-hati yang gelap. Tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah banyak kali berusaha. Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya. Tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan dugaan. Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM senantiasa tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.

Orang bertanya kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah yang kita fahami dan ikuti selama ini tidak benar? Maka saya hendak bertanya kepada anda: Adakah anda tahu apa itu
Istidraj? Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah mereka seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj?

Apakakah maksud Istidraj? Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan dan rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dari-Nya. Biasanya, manusia yang mendapat Istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT. Contoh manusia yang mendapat Istidraj ini ramai.

Kita lihat contoh yang mudah: Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusia yang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia. Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan. Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab, “Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”. Lihat apa kata Qarun: "Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU". Dia ternyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut Nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba. Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.

Daripada kisah tauladan diatas, apakah itu yang kita mahu? Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian? Saya yakin, 99% akan merasa begini; "Tengok, aku tak solat pun boleh berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”. Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH. Itulah Istidraj. Maka jangan gusar bila kita masih tidak berjaya. Cuba lagi dan jangan mudah berputus asa. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya. Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hamba-Nya yang beriman.

Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil. Terdapat dua orang nelayan; Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi Muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang Muslim membaca "Bismillah". Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang Muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu. Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH, “Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan dia apa-apa?”. Maka ALLAH menjawab, “Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadanya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkannya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imannya”.

Jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah belajar atau gagal di dalam perniagaan walau kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah pernah ALLAH SWT ada berfirman, “Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu masih belum diuji?”. Jika gagal terhadap sesuatu perkara itu, anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. Insya-ALLAH, ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda.

Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita. Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatian-Nya kepada kita. Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, tetapi di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan Istidraj? Saya yakin tanda tidak mahu...

Anda tenang sekarang? Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT. "Aku berdosa, tetapi aku berjaya…". Berhati-hatilah kita agar jangan sampai terlafaz perkataan itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.

Mari kita sama-sama duduk dan bermuhasabah diri semula. Semoga ALLAH SWT memberkati hidup para pembaca sekalian.