Tuesday, February 1, 2011

Jendela Hikmah 11.

Anak-Anak Belajar Daripada Sikap Ibu Bapa.


Ada kalanya apabila kita menegur anak-anak bukan kerana ingin membetulkan kesalahan mereka, tetapi ingin meluahkan rasa amarah dan geram. Sepatutnya kita sebagai ibu dan bapa harus cuba belajar kaedah terbaik untuk menegur anak kerana jika tersalah cara dan tersalah pendekatan mendidik, maka anak akan menjadi semakin nakal.

Anak-anak banyak belajar daripada sikap ibu bapanya. Mereka juga belajar marah untuk menunjukkan kelakuannya. Kita akui, banyak pengaruh luar yang mengubah perilaku mereka. Teman sebaya khususnya, sangat akrab dengan anak yang boleh mempengaruhinya sama ada cara bercakap, bertindak, meluahkan kemarahan dan perkataan yang diucapkan. Sering berlaku anak-anak tidak memahami dan mengetahui maksud perkataan yang diucapkan kerana mereka hanya meniru.

Banyak perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi mengatasi anak yang nakal. Perlu diingat, anak mempunyai dunia berbeza dengan orang dewasa. Sebelum mereka mengetahui benar atau salah sesuatu perkara itu, anak-anak hanya bertindak melakukannya tanpa memikirkan kesannya. Justeru, perkara yang biasa dilihat, itulah yang mereka ikut dan seterusnya membentuk keperibadian anak-anak kelak.

Daya imaginasi anak sangatlah tinggi. Mereka ibarat sedang bermain dengan permainan dan keinginan yang tinggi itulah mendorong mereka bertindak.
Tidak semua tindakan itu diistilahkan sebagai kenakalan. Kalaulah kenakalan itu adalah kesalahan yang biasa cubalah diatasi dengan senyuman.

Kalau boleh dengan senyuman, kenapa harus dengan kemarahan? Kalau boleh dengan ucapan, kenapa harus dengan pukulan? Kalau boleh dengan kucupan, kenapa dengan dengan cubitan? Menunjukkan kasih sayang dalam menegur kesalahan menyebabkan anak lebih terbuka. Anak yang melakukan kesalahan belum memahami erti kesalahan sebenar. Paling penting anak-anak hanya inginkan perhatian daripada ibu bapa. Mereka lebih bahagia jika ibu bapa menunjukkan penuh kasih sayang contohnya dengan memeluk, mengusap kepala atau sekadar berbicara dengan lemah lembut.


Ibu bapa perlu memiliki kesabaran yang tinggi dalam menghadapi dan mengendali anak yang nakal. Kesabaran itu sangat dituntut dalam memberi didikan supaya jiwa anak stabil dan berkembang dengan sempurna. Kesabaran ibu bapa boleh membuatkan anak mengerti bahawa perkara yang dilakukannya adalah salah. Sebaliknya, cara kekerasan menyebabkan anak-anak kita semakin melawan dan makin memberontak. Walaupun anak melakukan kesalahan, jangan terus membentak kerana perbuatan itu boleh melukakan perasaannya. Hal berkenaan boleh menyebabkan anak berdendam hingga dewasa kelak. Jadikan marah sebagai senjata terakhir apabila semua usaha lemah-lembut itu gagal. Marahlah jika anak benar-benar sudah terbukti mereka bersalah.

Namun, berilah nasihat dengan lembut kerana jiwa anak pasti tersentuh dengan kelembutan. Anak kita sangat kuat ingatannya hingga semakin banyak nasihat positif yang diterima, semakin stabil pertumbuhan jiwanya. Apabila anak sering menerima kata-kata kasar, maki atau sumpahan daripada ibu dan bapa mereka, tentunya pertumbuhan jiwanya menjadi semakin keras.


Lihatlah Rasulullah menegur Umar Abi Salamah ketika dia makan dengan mengambil makanan yang terletak jauh dari jangkauannya. Baginda mengatakan: “Wahai anak! Bacalah Bismillah. Makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan dari yang terdekat denganmu.” Jelaslah bahawa Baginda memilih kata-kata yang lembut dan hasilnya anak tidak lagi melakukannya dan nasihat itu terus meresap ke jiwanya.

Kesimpulannya adalah sebagai ibu dan bapa, kita harus memahami dan membuat satu pendekatan dengan anak-anak supaya mereka senantiasa ingat dan yakin bahawa diri mereka ada teman yang boleh didampingi apabila didalam kesusahan mahupun kesenangan. Janganlah kita sebagai ibu bapa menjadi alpa, lalai dan bersikap ambil mudah dalam hal mendidik anak-anak. Kerana, biarlah kita bersusah payah dahulu dan mendapat pulangan yang baik daripada kita merana di kemudian hari. Seperti pepatah orang tua mengatakan: "Melentur buluh, biarlah daripada rebungnya" dan "Bagaimana rupa acuan, begitulah rupa bentuknya."

Jadi, sama-samalah kita membentuk keluarga yang harmoni dan sejahtera. Keluarga yang bahagia bukan sekadar di dunia semata-mata. Ianya akan kekal hingga ke akhirat nanti. Doalah yang terbaik buat anak-anak kita agar mereka menjadi manusia yang berguna apabila kita susah tiada nanti.


(Sumber daripada: Harian Metro)



No comments: