Kebahagiaan Terpancar Daripada Keberkatan Allah
UMAT Islam perlu mencari keberkatan kerana tanpanya jiwa pasti tidak akan berasa tenang dan puas. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah ayat 155-157)
Ada golongan berusaha siang malam mencari rezeki. Malah, sanggup menggadai nyawa tetapi mengapa ia tidak memberikan jaminan kebahagiaan? Mengapa ada yang memiliki rumah besar dan megah, tetapi masih tidak gembira? Bahkan mereka bermati-matian mencari kebahagiaan dan ketenteraman, sedangkan apa yang mereka peroleh ialah masalah. Kenapa ia berlaku? Antara sebabnya ialah tiada keberkatan. Rasulullah s.a.w mendoakan sahabatnya di majlis perkahwinan semoga rumah tangga berkat. Malah, supaya dapat kaya, kekayaan yang berkat, sahabat yang ada ilmu berdoa ilmu berkat. Berkat ialah pelbagai guna, bermanfaat di dunia dan akhirat. Kita tidak hanya boleh berbangga dengan apa yang kita miliki, tetapi yang patut dibanggakan ialah keberkatan menerima nikmat.
Jadi, bukannya kita patut takut tidak memiliki sesuatu, tetapi harus takut sesuatu yang dimiliki tidak berkat. Keberkatan maknanya subur, dengan kebaikan, permohonannya diterima dan kebahagiaan. Keberkatan membawa ke syurga sebaliknya tanpa keberkatan kita dibawa ke neraka. Doa yang kita pinta ketika makan berbunyi: “Wahai Tuhanku berkatilah apa yang Engkau berikan pada kami ini dan selamatkanlah daripada api neraka.” Maknanya makanan yang tidak berkat walaupun sesuap boleh bawa ke neraka. Apa lagi kalau harta berlambak-lambak, ilmu melaut dan pelbagai gelaran. Menurut sejarah, Umar Abdul Aziz ketika menjalankan tugas pada malam hari di Baitulmal tiba-tiba anaknya mengetuk pintu. Apabila dilihat anaknya yang ingin bertanya mengenai urusan rumah tangga, beliau terus memadamkan lampu. Si anak bertanya: “Kenapa ayah padamkan lampu.” Jawab Umar: “Kerana minyak lampu ini milik negara.
Ia tidak layak untuk urusan peribadi. Inilah contoh keberkatan dalam erti kata yang sebenar. Keberkatan meliputi soal wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Wajib, mesti buat dan jika buat dapat pahala besar tetapi jika tidak buat dosa besar. Perkara yang harus diberikan pilihan, yang makruh patut dijauhi manakala yang haram mesti dijauhi. Kunci kebahagiaan ialah bersederhana di samping pengurusan yang pintar dan segala aktiviti mesti sesuai dengan syariat Allah s.w.t.
Contoh kecil yang dianggap remeh manusia hari ini ialah waktu solat. Mencari harta jangan sampai melupakan solat, mencari harta jangan sampai lupa kepada halal haram. Mencari untung patut dikerjakan sebanyak mungkin, tetapi apalah ertinya keuntungan jika membabitkan soal haram yang dimurkai Allah. Pelajar sebagai contoh, apalah ertinya berjaga malam, bersengkang mata, belajar dan mengulangkaji, tetapi esoknya tidak mengerjakan solat Subuh. Ilmu yang tidak berkat ialah ilmu yang ada di akal, ilmu dalam bentuk maklumat dan pengetahuan, tidak menjadi cahaya dan petunjuk.
Apabila ilmu tidak berkat, ia hanya boleh berhujah, tetapi tidak boleh merubah mereka.
(Sumber daripada: Harian Metro)
No comments:
Post a Comment