REMAJA HENDAKLAH TAHU CARA UNTUK MENGAWAL EMOSI DAN KEMARAHAN, IBU BAPA AMBIL PERANAN.
Emosi remaja sering menimbulkan keresahan kepada ibu bapa, terutama kepada yang tidak faham dengan perubahan dilalui mereka dalam aspek emosi dan fizikal hingga ada merasakan susah untuk mengawal anak remaja masa kini.
Alam remaja membawa perubahan besar kepada emosi anak-anak dan disebabkan itulah mereka memerlukan bimbingan untuk memandu emosi mereka ke arah yang sepatutnya. Emosi membabitkan kemarahan, kesedihan, kebencian, kegembiraan, ceria, bingung, tekanan, mestilah diluahkan pada masa dan tempat yang sesuai dan tepat.
Kerap kali remaja akan bertindak berlebihan dalam meluahkan atau memendam emosi mereka. Perasaan mereka kadangkala sukar untuk dijangka dan sering bertukar-tukar. Barangkali remaja tidak lagi mengamuk seperti kanak-kanak apabila marah, kecewa ataupun keinginan mereka tidak dipenuhi, tetapi mereka menunjukkan dalam bentuk pemberontakan atau kemarahan.
Seperti juga ketika mereka masih kanak-kanak, amukan remaja mesti diuruskan supaya tidak menjadi lebih parah. Ibu bapa perlu belajar bagaimana untuk mengurus kemarahan anak remaja. Antaranya:
1. Memahami kemarahan sebagai salah satu emosi manusia. Bukanlah bermaksud ibu bapa mesti selesa dan raikan kemarahan anak remaja, cuma ia mesti digunakan pada masa, tempat dan keadaan yang bersesuaian.
Contohnya, marah pada perbuatan yang tidak baik dan memudaratkan diri serta orang sekeliling adalah kemarahan yang mesti dipupuk dan digalakkan seperti marah apabila dibuli, diejek, melihat ketidakadilan atau penganiayaan. Atau marah apabila Rasulullah S.A.W dipersendakan, atau kemarahan atas sebab-sebab yang wajar.
2. Menganalisis punca terhadap kemarahan yang timbul. Sebelum mengurus kemarahan, ibu bapa mesti mengetahui punca sebenar yang menbuatkan anak remaja menjadi marah. Daripada itu, ibu bapa akan memahami kemarahan anak, samada berasas ataupun disebaliknya. Jika kemarahan itu hanya disebabkan keperluan yang tidak munasabah, berikanlah nasihat yang sewajarnya. Barangkali ketika kanak-kanak, mereka sudah terbiasa mengamuk untuk mendapatkan sesuatu.
Terangkan keburukan dan kesan negatif terhadap kemarahan yang tidak terkawal. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bahawasanya marah itu perosak Iman, bagaikan barang yang pahit merosakkan madu.” Dan, “Sesungguhnya sifat amarah itu adalah sifat untuk Syaitan dan ianya dimurkai oleh Allah S.W.T.”
3. Bimbing remaja bagaimana untuk bertenang dan bersabar apabila dalam keadaan marah. Biasanya remaja kurang mahir mengawal diri apabila marah. Mereka lebih cenderung bertindak atau mengeluarkan kata-kata yang akhirnya membuatkan mereka menyesal. Cara untuk mengatasi kemarahan dengan memupuk sikap bertenang dan bersabar:
- Menarik nafas dengan kiraan 1 hingga 10.
- Mengambil wuduq.
- Mendirikan solat (fardhu ataupun sunat).
- Membaca doa.
- Membaca Al-Qur’an.
- Berjalan di tepian pantai untuk menghirup udara segar.
Kesemua aktiviti di atas adalah diantara aktiviti yang boleh dilakukan untuk menenangkan kemarahan.
4. Ibu bapa sebagai contoh teladan. Ibu bapa yang sering gagal mengawal diri ketika menangani amukan dan kemarahan anak kecil akan membesarkan seorang remaja yang pemarah. Selain daripada itu, di luar kesedaran ibu bapa kata kesat dan tindakan kasar (menghukum) adalah satu penderaan.
Kebijaksanaan ibu bapa mengawal kemarahan sendiri ketika berhadapan dengan anak yang sedang mengamuk atau marah, secara tidak langsung ibu bapa telah atau sedang mendidik anak menjadi remaja yang penyabar, prihatin, dan bijak mengawal perasaan. Ibu bapa adalah contoh paling hampir kepada anak, dan begitu juga pada para guru yang mendidik anak-anak.
No comments:
Post a Comment