Saturday, April 16, 2011

Jendela Hikmah 14.



Maafkan Kami Ya Rasulullah



INI hanyalah satu muhasabah bukan realiti dan harap ia tidak menjadi kontroversi. Bayangkan apabila Rasulullah dengan izin Allah tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita.

Ketika itu Baginda datang dengan tersenyum dan muka yang berseri-seri di hadapan pintu rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Mesti kita menjadi sangat terkejut, memeluknya erat-erat lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu. Kemudian kita tentunya akan meminta agar Rasulullah sudi menginap beberapa hari di rumah kita. Tapi barangkali kita meminta Rasulullah menunggu sebentar di depan pintu kerana teringat VCD 18+ atau lukisan wanita separuh bogel yang melekat di ruang tamu kita sehingga kita terpaksa memindahkan semuanya ke belakang dengan tergesa-gesa kemudian menggantikan khat nama Allah dan Muhammad yang tersimpan dalam almari dan kita meletakkannya di ruang tamu.


Apa agaknya Rasulullah katakan jika baginda tahu semua itu? Bagaimana pula jika Rasulullah bersedia menginap di rumah kita? Barangkali kita menjadi malu kerana tidak mengetahui sedikitpun sejarah Rasulullah s.a.w, keluarga dan sahabatnya. Kita terpaksa menukar ruang tamu menjadi ruangan solat, malah segera mencari pakaian solat, kopiah, serban dan al-Quran. Manakala bagi anak isteri, kita terus belikan pakaian menutup aurat demi menutup malu selama ini kita berpakaian tidak menutup aurat.

Apa agaknya rasa Nabi dengan perlakuan dan lakonan kita itu? Belum lagi koleksi buku-buku, kaset dan karaoke kita. Ke mana kita harus menyingkirkan semua koleksi itu demi menghormati junjungan kita? Sudah tentu kita menjadi malu kerana kita tidak pernah ke masjid meskipun azan berkumandang. Kita juga pasti malu kerana pada waktu Maghrib keluarga kita masih sibuk di depan televisyen. Kita hanya menghabiskan hampir seluruh waktu untuk mencari kesenangan duniawi. Sudah tentu juga kita berasa malu kerana keluarga kita tidak pernah menunaikan solat sunat, sangat jarang membaca al-Quran dan tidak mengenal jiran tetangga kita.


Sudah tentu kita malu jika Rasulullah menanyakan kepada kita siapa nama tukang sampah yang setiap hari lewat di depan rumah kita.


Justeru, bayangkan apabila Rasulullah tiba-tiba muncul di depan rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Masihkah kita memeluk junjungan Nabi kita itu dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita? Atau akhirnya dengan berat hati, kita menolak kunjungan baginda kerana hal itu akan sangat membuat kita segan dan malu. Maafkan kami ya Rasulullah. Oh betapa memalukannya kehidupan kita saat ini di mata Rasulullah. Itu belum lagi kalau hendak kira cara kita mencari duit, membina keluarga, cara kita berpolitik, berniaga dan segala perlakuan kita yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Layakkah kita bergelar umat Muhammad, dan layakkah kita mendapat syafaat Nabi di hari akhirat nanti?



Saturday, February 19, 2011

Jendela Hikmah 13.


Kenali Nabi Muhammad S.A.W Ketika Menyambut "Maulidur Rasul"




ALHAMDULILLAH baru-baru ini, seluruh umat Islam menyambut ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Kita perlu memanjatkan rasa kesyukuran kerana dikurniakan nikmat kehidupan oleh Allah SWT. Selepas iman dan akidah, pengukuhan iman seorang Muslim dikuatkan dengan keimanan kepada Rasulullah. Beriman kepada rasul juga mesti sampai ke peringkat buat apa yang nabi buat, bukan pilih-pilih tapi segala-galanya mesti diikut kerana segala perbuatan nabi adalah wahyu daripada Allah. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Tiadalah segala yang datang dari nabi itu nafsu melainkan wahyu yang diturunkan kepadanya.” Jadi kita perlu melakukan apa yang nabi suruh kita lakukan. Itu sebab nabi diutus dalam bentuk manusia. Bayangkan jika malaikat jadi nabi, kita pasti susah mahu ikut kerana malaikat tak makan, tak minum, tak kahwin.

Kehidupan Rasulullah berlandaskan wahyu Allah. Semua orang makan, tapi jika makan cara nabi jadi ibadat. Begitu juga kahwin, nabi ajar cara perkahwinan yang betul, begitu juga hiburan, nabi mengajar cara berhibur yang betul. Kenapa mesti kita mencintai Rasulullah? Pertamanya, kerana nabi terlalu cinta kepada kita. Apa bukti nabi sangat cinta pada kita? Bacalah sejarah, sebelum nabi wafat, antara perkataan akhir nabi ialah “ummati, ummati” (umatku, umatku) umat nabi itu kitalah. Menurut satu riwayat lain, ketika nabi dibangkitkan di Padang Mahsyar kelak antara perkataan pertama nabi tanya kepada malaikat Jibril ialah “Di mana umatku?” Nabi juga pernah menyatakan dalam satu hadis yang bermaksud: “Bahagialah siapa yang melihatku dan beriman padaku” kemudian nabi sebut tiga kali: “Bahagialah, bahagialah, bahagialah siapa yang tidak melihatku tapi beriman denganku.” Orang yang tak lihat nabi tapi beriman pada nabi, antaranya kitalah, nabi puji kita tiga kali.

Sebab kedua kenapa mesti mencintai nabi sebab cinta nabi tanda sempurnanya iman seseorang Muslim. Maknanya kalau tak cinta nabi tak sempurnalah iman kita. Sabda nabi yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih disayangi daripada kamu menyayangi kedua ibu bapamu dan manusia seluruhnya.” Saidina Umar pernah satu hari berkata pada nabi, “Aku sayangi diriku, lepas tu baru aku sayang padamu, wahai Rasulullah. Nabi menjawab, cintailah aku lebih daripada cinta pada dirimu, barulah sempurna iman kamu.” Ketiga, nabi sangat banyak jasa kepada kita, jasa nabi bukan sembarangan, bukan kecil, tak boleh ditebus dengan wang ringgit. Jasa nabi pada kita kerana memperkenalkan siapa Tuhan kita yang sebenar. Nabi sanggup berkorban harta, isteri baginda jadi miskin, bergadai untuk membuat modal bagi menjalankan dakwah.

Rasulullah berjuang mendidik pelapis agar ada penyambung generasi hingga Islam sampai ke dalam hati kita. Itulah kenapa kita perlu sangat bersyukur merasai nikmat iman dan Islam kerana bapa saudara nabi sendiri, Abu Talib, walaupun nabi sudah melakukan dakwah tetapi masih tidak dapat terima Islam. Jadi begitu mahalnya nilai Islam ini sebenarnya kepada kita semua. Kemudian, kita mesti cinta nabi sebab nabi makhluk Allah yang maksum, yang tidak ada salah apatah lagi cacat cela. Rasulullah terpelihara daripada segala aib. Malahan baginda mendapat pula al-Quran sebagai mukjizat, sebagai panduan. Jelas sekali mencintai nabi bermakna kita mencintai seorang yang agung dan amat mulia. Justeru cintailah nabi Muhammad kerana baginda membimbing kita kepada kebenaran, huraikan ayat al-Quran agar kita mudah memahaminya, nabi juga tak jemu-jemu memberi nasihat agar umatnya selamat dan berbahagia di dunia dan akhirat.

Akhir sekali kenali nabi dengan mempelajari sirahnya, memahami hadisnya dan cintailah nabi dengan mencintai apa yang dicintainya. Nabi Muhammad patut diikuti dan disayangi sebab pada nabi ada segala-galanya. Baginda paling cantik dan dialah yang paling hebat. Cuma kita saja tak tahu kerana tidak baca secara mendalam perjalanan sirah nabi dan jika baca pun sambil lalu saja. Nabi Muhammad cemerlang dalam pelbagai dimensi. Cerita nabi lengkap daripada mula lahir, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga tua dan wafat. Kehebatannya cukup terserlah sejak dari kelahirannya, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga baginda tua dan wafat. Daripada orang biasa, baginda mengasaskan kemudian mengembangkan agama yang terhebat di dunia.



Wednesday, February 2, 2011

Jendela Hikmah 12.

Keajaiban Kasih Sayang dan Rasa Cinta.



SUDAH sebulan anak-anak kita bersekolah. Pelbagai gelagat kita lihat ketika memulakan alam baru persekolahan; ada yang menangis, ketawa, tak kurang yang ibu ayah terpaksa menunggu di kelas demi ilmu dan kasih sayang. Tetapi, suasana sebegini semakin kurang kita temui sebab anak sudah matang dengan pendidikan prasekolah yang dilaluinya.

Penulis sendiri masih teringat kenangan lama ketika Mak dan Abah tersayang memimpin tangan ke sekolah masa kecil dahulu. Tingginya harapan mereka dan kini selepas berjaya, semuanya dalam kenangan. Hanya titisan air mata dan kesayuan menjadi kenangan apabila terkenang kisah silam. Terima kasih buat Mak dan Abah.


"Ya Allah, sayangilah ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua menyayangi dan mendidik kami sewaktu kami kecil."

Doa sebegini sangat perlu dibaca setiap hari supaya Allah mengekalkan kasih sayang kita pada anak-anak dan juga ibu bapa. Mendidik anak dengan cinta dan kasih sayang berbeza dengan mendidik anak dengan sumpah seranah serta maki hamun. Kasih sayang akan memberi semangat dan pendorong positif dalam menghadapi kerenah dan perangai anak-anak.

Bayangkan jika ibu dan bapa tidak ada rasa cinta terhadap anak-anak, mereka akan melihat anak itu seperti melihat kayu dan batu. Bahkan mereka mungkin akan menganggap anak sebagai beban yang menyusahkan hidup mereka. Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Memang tugas yang sukar dan meletihkan.

Terima kasih dan syukur tidak terhingga kepada-Mu Ya Allah atas nikmat kasih sayang ini.
Bayangkan bebanan ibu ketika melahirkan anak yang terpaksa berdepan dengan sakit yang tidak terperi, darah yang tumpah dan tidak bermaya. Namun, apabila melihat bersih dan suci wajah bayi yang dilahirkannya maka akan hilang segala derita dan bebanan yang ditanggung selama ini. Itulah keajaibnya kasih sayang dan cinta yang mampu mencipta semangat dan daya juang yang luar biasa ibu bapa terhadap anak-anak. Pengorbanan yang lahir dari kasih yang ini dapat membina semangat dalam mendidik anak.

Setiap anak berbeza gelagat dan kerenahnya. Bagi ibu dan bapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang mencurah-curah dan bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak mereka menjadi manusia yang berjaya.
Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak. Allah S.W.T tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja. Allah S.W.T menjamin rahmatnya kepada ibu dan bapa yang mengasihi dan merahmati anak-anaknya.

Mendidik anak tidak selalunya rata dan mendatar saja kerana ada kalanya kita menerima ujian yang di luar jangkaan.
Jadi, kasih sayang mengukir ketabahan dan kegigihan buat ibu bapa. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung henti. Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka ketika berkomunikasi, luahkan rasa sayang dan harapan, teruskan usaha mendidik secara berterusan dengan penuh kesabaran.

Soalan penulis kepada semua pembaca budiman, pernahkah anda menatap wajah orang yang anda sayangi itu dengan penuh kasih sayang? Contohnya ibu dan bapa kita atau anak-anak kita. Jika tidak pernah, cubalah pandang-pandang dan perhatikan wajah orang yang banyak berbakti kepada kita itu kerana ketika sedang tidur, kerana itulah wajah yang paling jujur disisi Allah S.W.T. Wajah ketika tidur menceritakan segala-galanya. Tanpa kata, tanpa suara seolah dia berkata: "Betapa lelahnya aku hari ini, demi anak-anak dan keluarga aku sanggup melakukan segala-galanya." Renung dan tataplah wajah orang yang kita sayang itu ketika dia menutup mata ketika tidur sebelum mereka menutup mata buat selama-lamanya. Tidak kira sama ada anak-anak terhadap ibu bapa, mahupun ibu bapa kepada anak-anak.

Jangan lupa pesanan kudus daripada langit ketika mendidik anak-anak: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari manusia yang sombong dan ingkar kepada Allah iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga daripada batu-batu berhala."

Akhir kata daripada penulis, perasaan kasih sayang dan cinta tidak semestinya kepada Maha Pencipta dan di antara keluarga semata-mata. Maknanya yang begitu besar boleh mencakupi keseluruhan makhluk Allah S.W.T. Sebagai contoh, sayang terhadap sesama manusia (biarlah berlainan ikutan, agama, warna kulit dan pelbagai bahasa, kerana semua berasal daripada Nabi Adam a.s.), haiwan, pokok dan pelbagai lagi. Maka, penulis menyeru agar kita sama-sama melahirkan rasa kasih dan sayang supaya hidup kita tenang, aman damai dan selalu berfikiran positif dalam menempuhi liku-liku hidup yang hanya bersifat sementara.


(Sumber daripada: Harian Metro)